»
Memaparkan catatan dengan label renungan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label renungan. Papar semua catatan

Selasa, Oktober 23, 2012

Betulkan niat, semuanya kerana Allah swt


Assalamualaikum..

 Mau kongsi sesuatu yang boleh kita ambil iktibar.... :)


Di riwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, "Ada 3 golongan manusia yang ditanya terlebih dulu pada Hari Kiamat..."


PERTAMA
Mereka yang terpelajar (alim ulama), ditanya tentang apa yang diperbuat dengan ilmunya. Ulama itu menjawab: "Ya Tuhanku, siang dan malam hamba berusaha menyebarkan kebaikan, maka Allah dan malaikat Nya berkata: "Anda berdusta, niat anda hanya ingin dipuja dan dipuji oleh kebanyakan ummat sebagai orang alim dengan panggolan yang megah."


KEDUA
Yang kaya pula ditanya tentang kekayaannya. Jawab mereka: "Siang dan malam hamba memberikan sedekah. Allah dan malaikat Nya berkata: "Anda memberikan keterangan yang tidak benar, perbuatan anda hanya untuk menunjuk-nunjuk, agar disebut orang dermawan."


KETIGA
Mereka yang mati syahid, ditanya tentang perbuatannya dalam peperangan, para syuhada itu menjawab: "Ya Allah, Tuhan yang memerintahkan kepada hamba untuk melakukan jihad, hamba patuh dan taat perintah Tuhan maka hamba bertempur di medan jihad. Allah dan malaikat Nya berkata: "Anda bohong, perbuatan anda disertai tujuan untuk bersorak-sorai mencapai kemenangan agar disebut sebagai pahlawan gagah berani."

Kata Abu Hurairah: "Setelah Nabi SAW mengucapkan khutbahnya, Baginda berkata: Ketiga-tiga golongan manusia yang seperti di atas itu didahulukan dan dilemparkan ke neraka."

Demikianlah, Allah memberikan perumpamaan daripada golongan manusia di atas. Mereka yang tetap konsisten menjaga kualiti ibadah dalam keadaan apa  pun, maka baginya kenikmatan yang tiada putusnya.





Nota takde kaki:
Pentingnya niat yang ikhlas "Lillahi ta'ala" kan? Kadang kita ambil mudah dalam soal niat. Wallahu'alam...moga kita jadi yang lebih baik :)


Sabtu, Jun 23, 2012

sampai satu masa, aku terfikir...


sampai satu masa,
aku terfikir...
sudah tiada masa untuk dihabiskan untuk memanjakan diri sendiri.
masa yang ada cukup sekadar merehatkan diri dari sibuknya urusan dunia.
mujur hati masih sedar, "peruntukkan masa untuk urusan dengan Tuhan mu".

sampai satu masa,
aku terfikir...
sudah tiada duit untuk dibelanjakan untuk kesenangan sendiri.
yang tinggal sekadar cukup untuk mengisi perut siang malam.
semua kerana tanggungjawab yang terpikul.
mujur hati masih sedar, "sekurangnya aku masih ada duit untuk hidup"


sampai satu masa,
aku terfikir...

sudah tiada seronoknya bekerja bagai nak gila.
Please care me as a person, not as robot!
mujur hati masih sedar, "ikhlaskan hati mencari rezeki, sekurangnya aku masih punya pekerjaan"

sampai satu masa,
aku terfikir...
kadang aku mudah lupa,
suka merungut,
seolah tidak bersyukur untuk setiap nikmat yang Dia beri.
mujur hati masih lagi sedar, "teruskan audit & muhasabah diri, lakukanlah perubahan demi kebaikan".






moga dipermudahkan semua urusan..
amin..

Jumaat, Mac 30, 2012

Tidak ada daya dan kekuatan kecuali kekuatan Allah.


Seperti kebiasaan hari-hari bekerja, "kerja banyak yang tak pernah habis". Alhamdulillah, minggu stress dengan seseorang yang perengus tak kena tempat dan masa tamat di situ hendaknya.


Bekerja dengan seorang bank manager yang dulunya aku panggil singa betina lagi aman dari bekerja dengan seorang perempuan perengus. Paling bagus, dia yang aku anggap garang selama ini lagi tinggi perikemanusiaannya.


Mungkin berkat doa emak, atau kakak2. Tak sanggup tengok keadaan aku kata mereka. Risau dengar cerita aku di pejabat kata emak.


Terbeban dengan kerja dunia. Terbeban dengan perangai manusia. Dukacita dan letih dengan semua dugaan itu. Sampai masa aku kongsikan dengan emak.


Pesan emak, lazimi lidah dan hati dengan Hauqalah. Sebelum kerja, semasa kerja, biasakan diri dengan melafazkan Hauqalah. Sesibuk mana dengan kerja, sampai tak tertanggung penatnya, sampai tak tertanggung rasa tekanan itu, Hauqalah jangan lupa. "Mintalah dengan Dia".


Rasulullah SAW bersabda : “Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billahil 'aliyyil 'azim, maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan”. (Hadis Riwayat Tabrani)


Nota takde kaki:
Tidak ada daya dan kekuatan kecuali kekuatan Allah.

Sabtu, Disember 31, 2011

Tahun baru dan azam baru?

Tiap kali menjengah tahun baru masihi je, mesti ramai yang mula sibuk pasang azam baru, ataupun kecoh azam lama belum lagi tertunai. Ucapan Selamat Tahun Baru? Lagi la klise. Kan?

Tapi berbeza sekali bila peralihan ke tahun baru Hijrah, jarang orang Islam sendiri yang ambik peduli.

Azam tu bagus. Sebab kita akan cuba motivasikan diri dan berusaha bersungguh-sungguh untuk realisasikan azam kita.

Tapi lagi molek rasanya kalau adanya azam yang kita tetapkan untuk dicapai setiap hari, bukannya terhad kepada azam baru setiap kali tahun baru menjengah. Mungkin azam tahun baru tu kita jadikan azam jangka masa panjang.

Dan azam kita sehari-hari, untuk jangka masa pendek.

Azam aku untuk esok hari, selesaikan kerja secepat mungkin di pejabat :)

Azam jangka masa panjang, biarlah diri sendiri je yang tahu.
Yang pastinya, moga dengan semakin singkatnya umur kita, ada pembaharuan yang baik dari sudut amal, akhlak dan iman. Amin ya rabbal alamin..


Nota takde kaki:
Ya allah...perlu masa rehat yang cukup untuk badan dan minda yang terlampau penat dengan hal dunia.

Sabtu, November 19, 2011

Telah masuk waktu solat......


Bila tengok kesibukan senior,
Muslim.
Tak menang tangan melayan semua projek,
Tak menang tangan melayan phone meeting,
Berturutan setiap jam,
Kadang terfikir sejenak,
"Masa bila senior aku turun pergi solat?"
Astaghfirullah...


Sesibuk mana pun jadual kerja aku,
Sebanyak mana pun projek kena bereskan,
Berapa lama pun waktu kerja aku seharian,
Serabut mana pun otak nak fikir semua,
Sepenat mana pun aku,
Aku doakan satu.......

Moga Allah lapangkan waktu saat tibanya waktu solat ku.
Dan semoga 'mereka' menghormati waktu aku.


Pesan seseorang,
"Solat awal"
Jadilah aku pencuri masa yang pintar,
Nak pergi solat harus pandai lari seketika,
Turun ke surau,
Tunaikan yang wajib,
Terus naik ofis sambung kerja,
Itupun wajib jugak.
Baru rezeki halal,
Kau tak makan gaji buta... :)




Nota takde kaki:
Cabaran kerja dengan majoriti non-muslim macam ni la kan? Lagi2 non-muslim bukan orang Malaysia -_-"

Ahad, Ogos 14, 2011

Tentang Ramadhan

Salam 14 Ramadhan...

Hampir setengah Ramadhan kita lalui. Pejam celik...makin matang rupanya aku...ehem, matang ye bukan tua. Kalau bukan kerana seorang kawan wish birthday, aku sendiri pun lupa aku dilahirkan 14 Ramadhan. Awal Ramadhan kemain ingat bulan kelahiran, dah sampai masanya sendiri lupa.


Lupakan cerita itu.


Ramadhan kali ni rasa ada kelainan sedikit dalam hidup. Jika Ramadhan tahun2 sudah sebagai seorang pelajar, Ramadhan kali ini siang harinya dihabiskan masa hanya di pejabat. Ya, kurang waktu untuk Dia. Aku sedar.


Malam hari atau selepas subuh hanya dapat mencuri masa sekejap untuk Dia. Teringat kata2 seorang kawan, "kalau orang beriman tengok kita yang habiskan waktu dengan sia2 di bulan Ramadhan, mesti diorang cakap dalam hati...ruginya dia, tak nak rebut peluang beribadat di bulan puasa".


Terasa ruginya diri. Tetapi bolehkah alasan penat bekerja membataskan masa kita untuk Dia diterima? Jom kita muhasabah dan perbaiki diri lagi... =)


Nota takde kaki:
Tiap kali Ramadhan, hati mengharapkan pengisian Ramadhan terbaik seperti Ramadhan 2004.


Isnin, Jun 06, 2011

Belajarlah untuk meminta maaf


"Maafkan saya", ungkapan yang ringkas namun berat sekali untuk diungkap. Waima untuk ucapkan "Maaf" pun, adakalanya lidah terasa cukup berat untuk melafazkannya. Mengapa?


Bila sudah berbuat salah, perlu cermin diri. Perlu muhasabah diri. Perlu ada rasa dan keinginan untuk ucapkan kata keramat itu kepada mereka yang berkenaan.




Secomel-comel kucing pun, masih ada rasa bersalah. Kan?


Namun lain orang lain perangai. Tak semua yang anggap "Maaf" itu perlu diluahkan setelah kita berbuat sesuatu kesilapan terutamanya kepada manusia. Sudahlah berbuat salah kepada orang lain, hati masih lagi kering, tegar untuk meminta maaf.


Jangan disalahkan didikan ibu bapa ketika kita kecil yang tidak menitiberatkan perlunya meminta maaf jika kita berbuat salah. Besar atau kecil kesalahan yang kita lakukan, belajarlah untuk meminta maaf.

Berat sangat mulut nak mintak maaf, apa kata tulis je note macam ni. Sejuk sikit hati orang yang kita buat salah tu. Ye tak? :)



Saya pernah berdepan dengan seseorang yang hati kering dan ego tinggi, tahu diri sudah membuat salah, tapi muka masih lagi selamba seakan tiada apa-apa berlaku, jauh lagi untuk meminta maaf. Mujurlah tidak perlu berdepan dengan orang sebegini sehari-hari seperti dulu lagi ^^



Nota takde kaki:
Cuba memaafkan orang yang tak pernah belajar untuk meminta maaf bila dia melakukan kesalahan.

Jumaat, April 22, 2011

Coretan untuk bakal isteri ku


*entri copy-paste kedua*


Untuk bakal isteriku..


Tangan ini mula menulis apa yang telah dikarangkan oleh hati ini di dalam kalbu. Aku mula tertanya-tanya adakah aku sudah seharusnya mula mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai oleh nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya. Acap kali aku mendengar bahawa ungkapan “Kau tercipta untukku.”


Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya erti kalimah ini kerana diselubungi jahiliyah. Rahmat dan hidayah Allah yang diberikan kepada diriku, baru kini aku mengerti bahawa pada satu hari nanti, aku harus mengambil satu tangungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku, iaitu dirimu. Aku mula mempersiapkan diri dari segi fizikal, spiritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu.


Aku mahukan pertemuan kita yang pertama aku kelihatan ‘sempurna’ di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku galas ketika dipertemukan dengan dirimu. Aku cuba membataskan perbicaraanku dengan gadis lain yang hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau aku menceritakan rahsia diriku kepadanya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.


Kita tahu pergaulan antara lelaki & wanita bukan muhrim ada batasannya, tapi kita pandang enteng pada batasan itu. Bukan setakat pergaulan, percakapan kita pun ada batasan. Khuatir terlalu mesra lalu menimbulkan perasaan di hati, ingat, syaitan selalu mengambil peluang bila libatkan soal hati. Atau mungkin juga kerana percakapan yang tiada batasnya menyebabkan kita mendedahkan sesuatu yang sepatutnya menjadi rahsia.Mungkin juga pada zaman sekarang, cara kita menulis pun ada batasannya. Lihatlah berapa banyak rumahtangga runtuh, hanya dimulakan dari komen-mengomen yang 'mesra di laman sosial' cuma. Semua tu ada impak yang besar, kerana bermula dari tulis, baca dan pergaulan....hati pun boleh berubah perlahan tanpa kita sedar. Kalaupun ada yang menasihati, mungkin kita tidak mengakui bahawa cara kita bergaul, bertutur dan menulis/menaip/komen boleh merubah hati dan meruntuhkan kebahagiaan yang kita idam.


Aku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Yang aku takuti, diriku mula didekati oleh wanita kerana harta dan perwatakanku.


Baik yang indah berhijab atau yang ketat bert-shirt, semuanya singgah disisiku. Aku risau imanku akan lemah. Diriku tidak dapat menahan dari fitnah ini. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Aku tidak meninggalkan setelahku fitnah yang lebih bahaya untuk seorang lelaki melainkan wanita.”


Aku khuatir amalanku bukan sebulatnya untuk Rabbku tetapi untuk makhluknya.


Aku memerlukan dirimu untuk menghindari fitnah ini. Aku khuatir kurangnya ikhlas dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga.


Aku berasa bersalah kepada dirimu kerana khuatir cinta yang hak dirimu akan aku curahkan kepada wanita lain. Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau.


Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehkan diriku. Sukar untuk mencari solehah dirimu andai solehku tidak setanding dengan ke’solehah’anmu. Janji Allah pasti ku pegang dalam misi mencari dirimu. “Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik.”


Jiwa remaja ku ini mula meracau mencari cinta. Matang kian menjelma dan kehadiran wanita amat terasa untuk berada di sisi. Setiap kali aku merasakannya, aku mengenangkan dirimu.


Di sana engkau setia menunggu diriku, tetapi di sini aku curang kepadamu andai aku bermain dengan cinta fatamorgana. Sampaikan doamu kepada diriku agar aku dapat menahan gelora kejantananku disamping aku mengajukan sendiri doa diperlindungi diri.


Bukan harta, rupa dan keturunan yang aku pandang dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih antara kita. Saat di mana aku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar mencipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah delima tetapi cukup cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.


“Kawinilah isteri kerana empat perkara; keturunan, harta, rupa dan agama."


Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal.” Jika aku dipertemukan dengan dirimu, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum masanya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pendinding diri kita.


Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu. Biarlah kita mengikuti nenek moyang kita,Nabi Adam dan Siti Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin.


Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.


wahai saudari seakidahku, carilah lelaki yang mampu menjadi imam untukmu, yang menitis air mata melihat kesakitanmu ketika melahirkan zuriatnya, dan lelaki yang membangunkanmu untuk bangun beribadat bersama-sama pada 2/3 malam….


Sumber: akuIslam.com


Nota takde kaki: Awak, saya tak tahu awak mampu seperti tu atau tidak nanti. Tapi saya yakin, sekurang-kurangnya awak mampu menjadi imam untuk saya.

Isnin, April 04, 2011

Masa depan dunia VS Masa depan akhirat



Sering kita mengeluh memikirkan masa depan kita. Pening dan resah memikirkan dan merancang masa depan. Dalam doa, kita mohon masa depan yang cerah untuk diri kita, laluan yang mudah dan rezeki yang melimpah ruah untuk masa depan yang terjamin.


Banyak persoalan terlahir dalam diri, yang berkaitan dengan masa depan. Siapa aku nanti? Seorang yang berkerjaya mantap, kewangan kukuh, berkedudukan, ada nama? Di mana aku esok lusa? Apartment mewah, banglo 3 tingkat, berkereta mewah, percutian mewah luar negara, atau hanya di pondok usang?


Siapa aku dalam masa 5 tahun, 10 tahun, 20 tahun akan datang? Bagaimana kalau aku tolak peluang ini, dan tunggu peluang besar yang lagi menarik? Semuanya kesenangan dan nikmat dunia yang kita idamkan bila saatnya merencana dan memikirkan masa depan


Bila bercakap pasal masa depan, satu je dalam kepala kita. Masa depan dunia. Betul?


Tanpa kita sedar, kita tidak terlalu serius memikirkan masa depan yang lebih penting. Masa depan akhirat. Kita sibuk merencanakan masa depan dunia, tapi kita tinggalkan perancangan masa depan akhirat kita.


gambar: sumber



Padahal kita tahu, tujuan penciptaan kita. Padahal kita tahu, ke mana arah kita selepas dunia ini. Kita manusia yang tak bersyukur? Kita hidup dalam kerugian?


Masa depan dunia vs masa depan akhirat


Rasanya kita sudah tahu bezakan mana yang lagi utama. Cuma sebab kita masih lagi sibuk dengan urusan dunia, jadi kita tidak 'nampak' keuntungan untuk merancang masa depan akhirat. Dunia ladang akhirat. Ye, kita akui kebenaran kata-kata itu. Tapi amalan kita kadangkala tidak menambahkan saham bekalan kita untuk masa depan akhirat.


Hakikatnya, kita dapat kumpul saham untuk masa depan akhirat kita dengan melakukan sekecil-kecil kebaikan yang adakalanya kita langsung tak nampak kesan kebaikan itu untuk masa depan akhirat. Contoh?


Pergi sekolah/kolej/universiti, kerana tidak mahu kalah dengan tuntutan dunia pekerjaan :Masa depan dunia. Pergi sekolah/kolej/universiti seikhlasnya, kerana mahu menuntut ilmu yang memanfaatkan dunia akhirat :Masa depan akhirat.


Pergi kerja, curi tulang, rasuah masa tidak dipeduli, asal cukup bulan gaji masuk, kipas sana sini asal cepat naik pangkat @ gaji :Masa depan dunia. Pergi kerja, rajin dan amanah, tak rasuah masa sebab tahu kerja itu satu amanah :Masa depan akhirat.


Ada blog, update kisah peribadi kita sehari-hari, ribuan yang datang membaca, blog jadi popular, trafik kencang, untung duit nuffnang buat bekal kahwin: Masa depan dunia. Ada blog, update entry sedikit 'bijak + buat pembaca bermuhasabah diri', ada yang membaca dapat pula kesedaran dan perlahan berubah menjadi yang lebih baik: Masa depan akhirat.


Banyak lagi benda yang kadangkala orang tak nampak pun kebaikan kita lakukan, tapi sekecil-kecil kebaikan itu moga-moga membawa lebih banyak kebaikan dan bekalan saham untuk masa depan akhirat kita, insyaallah.


Nota takde kaki:
Untuk saya, untuk awak. Sama2 kita renungkan. =)