»

Rabu, Oktober 20, 2010

Aku kan abang!

Aku anak kecil yang tahu erti berkongsi kasih sayang dengan orang yang aku sayang. Aku anak kecil yang sudah mampu untuk memahami bahagianya mama dan walid ku setelah lahirnya dia. Aku juga sayangkan dia, seperti semua sayangkan dia. Tetapi kadangkala aku tidak tahu bagaimana harus aku tonjolkan perasaan sayang aku pada dia.


Bila dia menangis, aku akan berjalan laju seolah berlari menuju ke tempat tidur dia. Aku sudah tidak peduli dengan mainan-mainan yang menghiburkan hati aku. Lantas aku mendekati dia, aku cuba memujuk dia. Walaupun ketika itu nenek ku sudah pun mengendong dia. Aku cuba tepuk-tepuk dia. Pada aku itu tepukan untuk memujuk...yang perlahan. Tapi dia menangis. Mungkin terkejut dengan tindakan aku. Lantas aku cium dahi dia. Nenek tersenyum lalu menyuruh aku teruskan bermain.


Bila aku lapar dan merengek-rengek, dia juga mula merengek. Bila aku mula rasa mengantuk, dia juga akan mula menangis memberi isyarat mahukan mama mendodoinya. Aku mengalah. Kadangkala aku sendiri akan berbaring sambil bermain-main dengan pakcik-pakcik dan makcik-makcik ku. Bila cekni pulang, aku rasa gembira. Aku hulurkan tangan kecil ku minta didukung. Cekni kadangkala suka mengenakan aku. Dia akan pura-pura melarikan diri dari aku, kemudian aku akan kejar cekni sehingga dia mendukung aku. Cekni akan menari-nari dengan aku. Kadangkala cekni menyorok, kemudian aku akan cari. Kadangkala aku yang menyorok, aku pun pandai menghibur hati orang taw! Bila malam, cekni yang akan mendodoi aku. Menggantikan tugas mama. Aku mengalah dengan dia. Kerana aku kan abang!


Bila walid ku pulang menjenguk aku, mama dan dia di kampung, aku mengambil kesempatan ini untuk bermanja dengan walid. Aku akan minta didukung, didodoi, disuap dan macam-macam lagi. Aku abang, tapi aku seorang anak kecil yang manja.


Pagi itu, aku lihat dia didukung moyang ku. Aku lihat mama pakai baju lawa. Aku lihat walid berulang-alik memunggah barang ke dalam kereta. Aku tahu mama dan walid akan pergi. Tapi kenapa nenek memakaikan aku baju biasa? Aku mula faham. Aku sedar. Hati aku kecewa sedikit tapi aku kan anak kecil yang baik. Aku tahu mama dan walid hanya meninggalkan aku sekejap sahaja. Aku mengalah kerana aku kan abang!


Mama datang kepada ku. Mama cium aku berkali-kali. Mama peluk aku erat-erat. Aku pegang tangan mama sambil cium tangan mama. Aku tahu dalam hati, mama menangis. Aku kenal sangat dengan mama ku. Kemudian mama masuk ke dalam kereta. Aku hairan. Kenapa mama tidak menghiraukan dia. Aku tahu aku tidak pandai berkata-kata. Sekadar bunyi "huhh" saja aku pandai. Lantas aku tunjukkan jari ku ke arah dia. Seakan memberi isyarat kepada mama ku. "Mama, kenapa mama tinggalkan adik?". Aku tidak tahu rupanya mama hanya buat-buat terlupa akan dia. Mama tersenyum. Rupanya mama faham isyarat aku. Lantas mama mendapatkan dia. Kemudian aku dicium dan dipeluk walid. Beberapa minit kemudian, kereta walid bergerak meninggalkan pekarangan rumah nenek. Aku pandang mama yang menoleh ke arah ku. Aku lambai-lambai mama, walid dan dia. Aku tak menangis. Kerana aku anak kecil yang baik. Aku tahu tidak lama lagi mama dan walid akan pulang mengambil ku.


Kali ini aku mengalah dengan dia. Dan membiarkan mama dan walid meninggalkan aku di kampung. Kerana dia adik, aku kan abang!


*******
Nota tak berkaki: Aku rindukan amsyar yang amat. Teramat rindu...:'|

Tiada ulasan:

Catat Ulasan